Friday, July 5, 2024
29.6 C
Brunei

    -

    PBSM ingati ulang tahun penubuhan ke-76

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam telah memperingati ulang tahun penubuhannya yang ke-76 dalam majlis yang berlangsung di Ruang Legar, Tingkat 1, Kompleks Annajat, Beribi, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Yussof.

    Presiden PBSM Negara Brunei Darussalam, Haji Muhd Suhaimi bin Haji Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya antara lain telah mengongsikan sejarah penubuhan dan perkembangan persatuan itu sepanjang tempoh 76 tahun.

    Beliau turut mengongsikan pencapaian cemerlang persatuan di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk apabila diberikan tanggungjawab untuk menerajui Pusat Kecemerlangan Pertolongan Cemas Asia Tenggara dalam Mesyuarat Pertama Rangkaian Pertolongan Cemas Asia Tenggara (SEAFAN) 2023 PBSM Negara Brunei Darussalam.

    Menurut beliau, menerusi Pelan Strategik PBSM 2020-2025, persatuan mereka ingin menyasarkan untuk melatih lebih ramai first aider dan membudayakan keselamatan dalam masyarakat menjadi satu keutamaan untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang first aider dalam sebuah rumah.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan Anugerah Kemanusiaan Henry Dunant PBSM 2023 kepada Datin Hajah Hasnah. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD
    GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD
    Antara yang hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD

    “Sasaran jangka panjang ialah untuk merealisasikan hasrat satu rumah atau satu keluarga seorang first aider dapat dicapai pada tahun 2035,” jelasnya.

    Bersempena dengan sambutan penubuhan itu, PBSM buat julung kalinya mengeluarkan dan mentauliahkan Pingat Jasa Bakti Cemerlang kepada 41 orang penerima terdiri daripada pegawai-pegawai kanan veteran, pegawai dan ahli serta sukarelawan yang telah memberikan khidmat bakti cemerlang mereka kepada persatuan itu.

    PBSM juga memberikan penghormatan kepada dua orang penerima menerusi Anugerah Henry Dunant PBSM, anugerah berprestij PBSM Negara Brunei Darussalam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit (IFRC).

    Anugerah berkenaan diberikan kepada Allahyarham Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff bin Pengiran Haji Bahar, mantan presiden sesi 2022 – 2024 yang telah kembali ke rahmatullah pada awal tahun ini dan menerima Anugerah Pemimpin Henry Dunant PBSM 2023.

    Manakala itu, penerima Anugerah Kemanusiaan Henry Dunant PBSM 2023 pula ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim selaku ahli kehormat dan ahli Majlis Kebangsaan PBSM Negara Brunei Darussalam semenjak 2022.

    Sementara itu, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) juga dianugerahkan Rakan PBSM atas kerja-kerja kemanusiaan dan sokongan sumber dana yang sentiasa disumbangkan kepada kegiatan dan aktiviti kemanusiaan PBSM.

    Majlis turut menyaksikan Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyempurnakan penyampaian surat cara lantikan kepada ahli-ahli majlis kebangsaan dan lembaga jemaah tadbir sesi 2024 – 2029.

    Sehingga ke hari ini, PBSM mempunyai lebih 1,000 orang ahli berdaftar dan sukarelawan umum.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...