Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBSM proaktif galas tugasan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam turut tidak ketinggalan dalam menggalas tanggungjawab proaktif dalam sama-sama memastikan keselamatan awam semasa berlangsungnya Istiadat Perarakan Pengantin Diraja di bawah Kementerian Kesihatan melalui Perkhidmatan Ambulans Perubatan Kecemasan (EMAS) dan PBSM bagi menyediakan perlindungan perubatan sejak awal pagi lagi, hari ini.

    Pasukan Perubatan PBSM, yang terdiri daripada Pasukan Pertolongan Cemas PBSM ditempatkan di sepanjang laluan perarakan pengantin diraja yang bermula dari Istana Nurul Iman hingga ke Bangunan Alat Kebesaran Diraja di ibu negara.

    Terdapat 22 pos pertolongan cemas di sepanjang laluan dengan penglibatan anggota daripada kadet institusi pengajian tinggi, anggota platun daerah dan pegawai serta sukarelawan awam yang terlatih berkhidmat sebagai pembantu cemas.

    Semasa ditemui media, Jurulatih Pasukan Pertolongan Cemas PBSM, Awang Muhammad Ikhwan Zahadi bersama enam orang ahli yang ditugaskan di zon berdekatan Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja dan sekitarnya menjelaskan adapun peranan mereka secara amnya bagi menjaga keselamatan orang awam sekiranya berlaku sebarang kecemasan dari segi perubatan, maka mereka sebagai first responder atau memberikan pertolongan pertama akan menangani kes atau masalah yang dihadapi terlebih dahulu.

    Dalam hal ini, jika keadaan dilihat semakin teruk maka seseorang yang menghadapi masalah kesihatan itu akan terus dibawa ke ambulans bagi mendapatkan rawatan segera.

    Awang Muhammad Ikhwan Zahadi (tiga kiri) bersama enam orang ahli yang ditugaskan di zon berdekatan Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja ketika ditemui media. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda