Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Dalam memastikan keselamatan awam semasa Majlis Istiadat Perarakan Pengantin Diraja pada Ahad ini, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam pagi tadi telah menerima sumbangan sebanyak 250 helai ves pertolongan cemas daripada Trane Aire Sdn Bhd dan DSC Engineering Sdn Bhd.
Pada majlis itu, sebanyak 50 unit tactical first aid pouch dan satu unit beg trauma kecemasan telah disumbangkan.
Majlis yang berlangsung di PBSM, Level 1, Kompleks Annajat, Beribi itu dihadiri oleh Pemangku Presiden PBSM, Simon K A Leong.
Setiausaha Agong PBSM, Haji Suhaimi berkata, peralatan-peralatan tersebut akan digunakan oleh First Aid Walking Team PBSM semasa perarakan itu nanti.
PBSM Negara Brunei Darussalam telah dilantik sebagai Jawatankuasa Kerja Kesihatan bagi Perkahwinan Diraja di bawah Kementerian Kesihatan melalui perubatan kecemasannya, Perkhidmatan Kecemasan Ambulans Perubatan (EMAS) dan PBSM yang menyediakan perlindungan perubatan semasa acara berlangsung.
Pasukan Perubatan PBSM yang terdiri daripada Pasukan Pertolongan Cemas akan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan bantuan dan memastikan keselamatan awam pada majlis tersebut.
Pasukan berkenaan akan ditempatkan di sepanjang laluan perarakan yang bermula dari Istana Nurul Iman hingga Bangunan Muzium Alat Kebesaran Diraja.
Terdapat 22 pos pertolongan cemas di sepanjang laluan, dengan penglibatan lebih kurang 300 orang anggota daripada kadet di institusi tinggi, anggota platun daerah dan pegawai serta sukarelawan awam terlatih yang akan berkhidmat sebagai pembantu cemas.