PETALING JAYA, 30 April – Petronas Dagangan Bhd (PDB) dan penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia, bersama-sama melancarkan ‘Pit Stop’ Pemandu Grab, hentian untuk pemandu Grab berehat dan menyegarkan badan sebelum meneruskan perjalanan.
Ketua Perniagaan Runcitnya, Aadrin Azly, berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik PDB dan Grab bagi menjadikan pemanduan lebih bermakna bagi Rakan Pemandu Grab.
“Fasa pertama projek itu bakal menyaksikan 58 Pit Stop Pemandu Grab dibuka di negeri terpilih di seluruh negara.
“Lima hentian terpilih akan dilengkapi kemudahan tempat duduk eksklusif bagi menambah keselesaan kepada pemandu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pit Stop Pemandu Grab, yang dibuka secara rasmi pada 2 Mei di sini.
Beliau berkata ia merupakan tempat istirahat eksklusif pertama, yang bukan sahaja merupakan tempat selesa kepada semua pemandu untuk kembali cergas, malah dapat menikmati tawaran menarik yang lain.
“Pit Stop Pemandu Grab merupakan kawasan ideal untuk pemandu berehat, selari dengan penekanan kami ke atas keselamatan jalan raya (pencegahan) daripada bahaya terlelap.
“Inisiatif ini merupakan usaha berterusan kami dalam meningkatkan nilai penawaran kepada Grab, yang termasuk insentif khas, diskaun dan program kesetiaan. Kami mahu semua pemandu Grab mengetahui bahawa hanya di Petronas menyediakan nilai, perkhidmatan dan produk terbaik,” katanya.
Program itu, yang sebelum ini terpakai hanya untuk pemandu berprestasi tinggi terpilih, kini dilanjutkan kepada pemandu Silver, Gold dan Platinum dalam Program GrabAlIStars.
Menjelang akhir tahun. ia menyasarkan perhentian seperti itu disediakan di setiap bandar yang menawarkan perkhidmatan Grab.
PDB ialah cabang pemasaran domestik Petroliam Nasional Bhd (Petronas), syarikat minyak Malaysia yang menguasai 69.86 peratus ekuitinya.
Grab, pengangkutan atas permintaan dan platform pembayaran mudah alih utama di Asia Tenggara kini hadir di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar, dan Kemboja. – Bernama