Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah mengadakan majlis Doa Selamat bagi seorang pegawai polis yang akan menyertai Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) dan Doa Kesyukuran bagi kepulangan jemaah haji PDB yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali bersama isteri, Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman serta pegawai-pegawai kanan dan anggota PDB.
Majlis bertujuan untuk memohon perlindungan dan keselamatan pegawai berkenaan di sepanjang menjalankan tugasan seraya itu diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran bagi meraikan kepulangan anggota PDB yang menunaikan fardu haji.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan surah-surah pilihan diikuti Doa Selamat dan sembahyang Asar berjemaah.
Pegawai yang dihantar bagi menyertai IMT ke- 16, di Mindanao, Republik Filipina ialah Penolong Penguasa Polis (ASP), Haji Muhd Shaker bin Haji Nayan.
