Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73, Daerah Polis Brunei dan Muara, Pasukan Polis Diraja
Brunei (PDB) telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran bersama ahli-ahli pengawasan kejiranan (PK) di bawah tadahan Daerah Brunei dan Muara, hari ini.
Hadir pada majlis di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Haji Maon dan Yang Berhormat Haji Mohimin bin Johari @ Jahari, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli PK.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai menguasa balai polis, ahli focal point balai-balai polis serta anggota Unit Perhubungan Awam PDB selaku Urus Setia PK seluruh daerah.
Majlis dimulakan dengan sembahyang sunat Hajat dan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Surau Polis, APO Sarjan Mejar 6924 Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Matahir dan diikuti sembahyang Asar berjemaah.
Majlis bertujuan bagi melahirkan tanda kesyukuran atas kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan seterusnya memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Baginda Sultan dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah negara dengan berlandaskan iman dan panduan dari Allah SWT.
