Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Bagi meringankan beban ahli atau keluarga waris anggotanya, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) hari ini telah menyampaikan Insurans Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok bagi tahun 2018 kepada ahli waris anggota PDB yang telah meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam, pengarah-pengarah jabatan, para pegawai kanan, anggota pangkat rendah PDB dan ahli-ahli waris penerima insurans berkenaan.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Takaful Brunei Am (TBA), Awang Barudin bin Haji Kudil serta pegawai daripada TBA.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh APO Sgt 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar dan diikuti oleh ucapan Ketua Bahagian Audit Dalaman Tatatertib, Kebajikan dan Kaunseling PDB, Penguasa Polis Hajah Rosnie binti Haji Ali.
Kemudian majlis disusuli dengan penyampaian Insurans Skim Takaful oleh tetamu kehormat kepada 50 orang ahli waris bagi lapan anggota PDB yang telah meninggal dunia.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, ia menunjukkan PDB sangat mengambil berat dan perhatian dalam mempertingkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga pasukannya.

