Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Sebagai inisiatif pemedulian terhadap kebajikan mualaf khususnya yang berada di pedalaman di samping mengeratkan hubungan silaturahim dan mahabbah bersama mualaf dan penduduk di sekitarnya, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan kunjungan berhari raya ke Balai Ibadat Kampung Semabat, Daerah Temburong.
Kunjungan rombongan warga PDI khasnya dan KHEU amnya itu telah diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan Isteri.
Turut menyertai kunjungan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu yang juga Penghulu Mukim Bokok; Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Amir Khairil bin Haji Mahmud; Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Haji Jamil bin Haji Abdul Ghani; Ketua Kampung Lapung Baru, Lapong Lama dan Semabat, Ambol anak Bakit; Pemangku Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh; Pemangku Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar; para pegawai kanan KHEU dan PDI serta dari Unit Dakwah Temburong.
Mengikut statistik PDI, Daerah Temburong mencatatkan seramai lapan orang telah memeluk Islam bagi tempoh antara Januari hingga Mei 2018.
