Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Mesyuarat Hubungan Dua Hala Bahagian Penapisan dan Pameran Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dengan Malaysia selama enam hari berakhir dengan perjumpaan yang diadakan di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor (Yayasan Restu), Shah Alam dan Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya, baru-baru ini.
Rombongan PDI diiringi oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Restu dan Nasyrul Quran, Mohd Shafizal bin Abdul Hameed.
Antara pengisian perjumpaan termasuk pengenalan ringkas Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor dan lawatan ke galeri-galeri yang terdapat di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, seperti Galeri Mushaf, Galeri Mahabbah Al-Haramain dan Galeri Rehlah Nabawiyyah.
Rombongan juga berkesempatan membuat kunjungan muhibah kepada Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin.
Kunjungan diakhiri dengan penyerahan cenderahati berupa Mushaf Negara Brunei Darussalam kepada Tuan Yang Terutama.
