Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Dalam usaha memperkukuh penghayatan beragama dan menzahirkan rasa cinta terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Pengupayaan Mualaf) telah menganjurkan Rombongan Dikir Bersama Mualaf sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Mushalla Al-Ameen, PDI kelmarin.
Majlis Dikir Rombongan PDI itu merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan Bahagian Pembangunan Mualaf yang bertujuan untuk membimbing para mualaf dalam memperkukuh amalan keagamaan serta memperbanyakkan selawat sebagai manifestasi cinta kepada Rasulullah SAW.
Hadir selaku ketua rombongan, Penguasa Dakwah dan Tabligh, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan.

Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Ugama, PDI, Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin.
Acara diserikan dengan tazkirah bertajuk Hikmah dan Keutamaan yang Boleh Kita Ambil dari Rasa Cinta Kita Terhadap Rasulullah SAW disampaikan oleh Guru Ugama Terlatih, PDI, Dayang Siti Noraini binti Haji Mohd Hashim.
Intipati tazkirah antara lain menerangkan bahawa Rasulullah SAW merupakan teladan yang terbaik bagi umatnya dan mencintai Baginda bukan sahaja boleh mendorong untuk mengamalkan perkara yang disukai Baginda, bahkan juga menjadi jalan untuk sentiasa bersama Baginda.
Cinta yang tulus kepada Rasulullah SAW akan membawa kepada manisnya iman serta kesempurnaan dalam beriman.
Turut hadir, pegawai dan kakitangan daripada Bahagian Penyebaran Dakwah, dan Bahagian Penapisan dan Pameran, PDI serta para ahli Persatuan Nurul Islam.
Majlis turut diserikan dengan Dikir Syarafil Anam, diikuti dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, dan diakhiri dengan sembahyang Fardhu Isya’ berjemaah.



