BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Seramai 280 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan termasuk para pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), telah menghadiri Forum Khas Bulan Ramadan, hari ini.
Forum khas anjuran PDI melalui Bahagian Penyebaran Dakwah (Ceramah) di Dewan Persidangan, PDI itu menampilkan dua orang ahli panel undangan yang telah menyampaikan forum bertajuk ‘Ramadan Karim: Pengukuhan Rumah tangga Meraih Keluarga Sakinah, Mawaddah Wa Rahmah.’
Hadir selaku tetamu kehormat pada forum itu, Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Pengisian forum dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Ugama i-Ready, Awang Muhamad Waqiyuddin Fakhri bin Haji Damit,.
Forum disampaikan oleh Pegawai Kanan Khidmat Nasihat Rumah Tangga, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Haji Abdullah Amer bin Haji Abdul Hamid dan Dayang Zati Hanani binti Dato Seri Setia Haji Rajid, Da’ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).
Manakala forum dipengerusikan oleh Pegawai Tabligh, PDI, Dayang Zannatul Mardiah binti Awang Sulaiman.
Inti pati forum membincangkan tentang tanggungjawab dalam pengukuhan rumah tangga antaranya, melakukan amalan-amalan yang membantu dalam peningkatan iman dan pengukuhan akidah yang mendorong ke arah keperibadian sahsiah mulia seperti sembahyang berjemaah, bertadarus Al-Quran, qiamulail dan bersungkai serta bersahur bersama keluarga.
Di samping itu, matlamat utama berpuasa juga akan dapat dicapai oleh anak bangsa yang memiliki keperibadian yang sentiasa berpegang kepada ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW apabila diaplikasikan kesemuanya bermula dari rumah (keluarga).
Antara objektif forum khas ini adalah bagi melahirkan warga perkhidmatan awam yang berpengetahuan dan bertanggungjawab terhadap bulan-bulan kebesaran Islam seperti menyemarakkan dan mensyukuri kehadiran serta memupuk perasan cinta terhadap bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Majlis diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada ahli-ahli panel disempurnakan oleh tetamu kehormat seterusnya bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Terhindar daripada Wabak COVID-19 yang dibacakan oleh Awang Muhamad Waqiyuddin Fakhri.