Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Seramai 40 orang pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama menyertai Majlis Khatam Al-Qur’an Pegawai dan Kakitangan Pusat Dakwah Islamiah Sempena Jubli Delima Pusat Dakwah Islamiah yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie, kelmarin.
Majlis berkenaan diadakan bagi membudayakan pembacaan Al-Qur’an dalam kalangan warga kerja, selaras dengan hasrat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir, di samping menggalakkan budaya kerja berpasukan dalam menjayakan program dan aktiviti kebajikan.

Hadir selaku tetamu kehormat, Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, yang juga menyempurnakan penyampaian sijil khatam kepada peserta khatam yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Selawat Tafrijiyyah dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan Khatam Al-Qur’an dari Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Nas secara beramai-ramai oleh para peserta.
Bacaan Takhtim dipimpin oleh Penolong Pegawai Ugama, Awang Mohd Syahirol Syafiq bin Rashid, manakala bacaan Tahlil pula dipimpin oleh Pegawai Da’ie (SkiPPA), Awang Abdul Mu’iz bin Haji Jahair sementara doa Khatam Al-Qur’an kemudiannya dibacakan oleh tetamu kehormat.


Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban, dan majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang.
Majlis ini juga diadakan bagi memperingati ulang tahun perasmian Pusat Dakwah Islamiah pada 16 September 1985 Masihi, dan pelaksanaan majlis ini diharap dapat menyemai rasa cinta dan penghargaan terhadap Al-Qur’an serta membentuk akhlak dan pekerti yang mulia dalam kalangan warga Pusat Dakwah Islamiah.

