Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Belia Mualaf As-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia (PKB), Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, baru-baru ini telah menganjurkan Program Hi-Class (Hidayah Class) 2025 siri kelima di Dewan Persidangan, PDI, Kampung Pulaie.
Program Hi-Class (Hidayah Class) berkenaan merupakan platform pembelajaran yang diselitkan dengan sesi perbincangan interaktif dan aktiviti menarik direka khusus bagi memudahkan proses pembelajaran para belia mualaf.
Di samping menerapkan format program yang segar dan mesra belia, program ini juga menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik, menyeronokkan dan relevan dengan jiwa generasi muda masa kini.
Inisiatif berkenaan turut menyokong usaha PDI dalam memantau dan membimbing perkembangan para mualaf secara dekat ke arah melahirkan individu yang berilmu, berkeyakinan serta mampu mengamalkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian mereka.
Program diserikan dengan ceramah bertajuk Zakat: Menghubungkan Hati, Memperkasakan Ummah yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Awang Muhammad Fuad bin Matahir.
Ceramah berkenaan mengetengahkan kisah kejayaan zakat dari zaman sahabat dan masa kini sebagai inspirasi kepada para peserta serta dihasrat dapat meningkatkan pemahaman masyarakat tentang konsep dan hak zakat serta menggalakkan penyertaan aktif dalam amalan berzakat.
Program tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan sesi perkongsian Hi-Class yang disampaikan oleh penceramah undangan dan diteruskan dengan sesi soal jawab sebelum diakhiri dengan Tasbih Kafarrah dan Surah Al-‘Asr.
