Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 4 MEI – Sebagai sebuah platform bagi memperluas ilmu pengetahuan serta memperkukuh kefahaman mengenai kepentingan mempelajari sejarah Islam, Belia Mualaf As-Syahadah, di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia (PKB), Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini telah mengungkayahkan Program Hi-Class (Hidayah Class) Siri Ketiga bagi tahun 2025.
Program yang berlangsung di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam (PAHMA), Kampung Sengkarai itu merupakan sebuah inisiatif bagi membentuk pemikiran Islam yang holistik dalam kalangan belia, di samping menggali pengajaran daripada sejarah tamadun Islam untuk diterapkan dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim dan amalan sepanjang hayat.
Program berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan sesi perbincangan dan aktiviti-aktiviti bercirikan kebeliaan yang direka khas untuk menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami oleh para peserta.
Antara pengisian utama program itu ialah ceramah bertajuk Dulu Hebat, Kini Apa Khabar? yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, KHEU, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid selaku penceramah undangan.
Ceramah tersebut mengupas sejarah kedatangan Islam ke Negara Brunei Darussalam serta perkembangan dan penyebaran Islam di negara ini dari sudut sejarah dan ketamadunan.
Program diteruskan dengan sesi soal jawab yang interaktif, memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi pandangan dan mengajukan soalan berkaitan tajuk yang dibincangkan. Program kemudian diakhiri dengan bacaan Tasbih Kafarah, Surah Al-‘Asr dan sesi bergambar ramai sebagai kenangan.
Melalui penganjuran berterusan program sedemikian, ia diharap dapat memupuk semangat cintakan ilmu serta memperkukuh jati diri keislaman dalam kalangan belia mualaf khususnya dan belia Islam amnya.