Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS- Meneladani Rasulullah SAW dalam adab dan akhlak seharian bermula dari saat bangun tidur, cara baginda makan dan minum hinggalah sebelum tidur, merupakan antara pesanan utama.
Perkara ini dikongsikan dalam tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama (SkiPPA), Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Dayang Hajah Nur Farhanah binti Haji Sulaihe di Majlis Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW anjuran PDI yang berlangsung di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, kelmarin.
Hadir selaku ketua rombongan di majlis itu, Pengarah Pusat Da’wah Islamiah, Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Dalam tazkirah bertajuk Meneladani Rasulullah SAW dalam Adab dan Akhlak Seharian, Dayang Hajah Nur Farhanah turut mengongsikan antara riwayat, doa Rasulullah sebelum tidur: “Dengan nama Allah aku mati dan hidup,” serta doa ketika bangun tidur: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada-Nyalah kami dibangkitkan.”

Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Acara turut diserikan dengan Dikir Syarafil Anam sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Sembahyang Fardhu Isya’ berjemaah.
Majlis ini diungkayahkan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Pengupayaan Mualaf), Pusat PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang antara lain bertujuan untuk memperkukuh penghayatan beragama serta menzahirkan kecintaan terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dalam kalangan para mualaf.
Aktiviti tahunan itu merupakan sebahagian daripada usaha Bahagian Pembangunan Mualaf untuk membimbing serta mengajak para mualaf memperbanyakkan selawat di samping mencontohi keperibadian Rasulullah SAW.




