Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Untuk meningkatkan pengetahuan para peserta dalam aspek seni tilawah Al-Quran di kalangan mualaf, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) mengungkayahkan Majlis Pelancaran Kelas Seni Tarannum Al-Qur’an Bagi Mualaf di keempat-empat daerah, serta Pembukaan Kelas Bimbingan Mualaf Cawangan Sengkurong pagi tadi.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Penolong Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman selaku tetamu kehormat majlis.
Menurut tetamu kehormat dalam ucapannya berkata, dalam rangka usaha dan memastikan pembelajaran ilmu pengetahuan ugama Islam di kalangan para mualaf dapat terus disampaikan.
Inisiatif berkenaan adalah di bawah Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dengan tujuan untuk mempersiapkan para mualaf yang ingin menyertai Musabaqah Membaca AI-Qur’an di peringkat negara dan peringkat seterusnya.
Beliau difahamkan bahawa cawangan Kelas Bimbingan Mualaf akan dibukakan di masjid ini yang akan disertai oleh para mualaf yang tinggal berhampiran supaya mereka dapat belajar dan menghalusi lagi bacaan al-Qur’an dan Fardhu ‘ain.
Para mualaf juga boleh mempelajari ilmu berkaitan dengan Fardhu ‘Ain seperti Fiqh Thaharah, Fiqh Shalat, Tauhid atau Aqidah, Akhlak, Iqra’, Amali Agama seperti zikir-zikir dan doa-doa, sejarah Islam dan lain-lain ilmu agama Islam dengan kaedah pengajaran yang berkesan, tambah beliau.
Majlis hari ini turut diselajurkan dengan pembukaan cawangan baru Kelas Bimbingan Mualaf Di Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong.
Sehingga kini, sebanyak 18 kelas bimbingan mualaf telah dibuka di keempat-empat daerah, termasuk satu kelas yang menggunakan platform atas talian.
Turut hadir adalah Penghulu Mukim Sengkurong, Dr Awang Haji Abdullah Hanif bin OKM Dinda Haji Saman.
Gambar Serahan PDI