Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PDI terus semarak kegiatan mualaf

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Bagi menggalakkan para mualaf untuk sama-sama mengimarahkan masjid, surau, balai ibadat, pos dakwah dan juga rumah kegiatan agama di kawasan masing-masing, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) serta rombongan mualaf dan ahli Persatuan Nurul Islam (PNI) semalam mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran, Bersungkai, Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir.

    Majlis yang diadakan di Musholla Al-Ameen, Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie, dihadiri oleh Ketua Bahagian Penyebaran Dakwah, PDI, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan, selaku ketua rombongan.

    Turut hadir ialah Yang Dipertua PNI, Haji Mohd Hazwan bin Abdullah. Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan tadarus yang juga diselajurkan dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah dipimpin oleh ahli PNI.

    Acara diselajurkan dengan penyerahan Buku Panduan Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir (Siri Bimbingan Mualaf) dan Ratib Al-Attas (Siri Bimbingan Mualaf) untuk kegunaan ahli PNI yang disempurnakan oleh ketua rombongan.

    Majlis diikuti dengan berbuka puasa dan sembahyang Fardu Maghrib secara berjemaah.
    Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Ratib Al-Attas, dan sembahyang Fardu Isyak serta diakhiri dengan sembahyang Sunat Tarawih dan Witir secara berjemaah.

    Aktiviti ini juga bertujuan untuk mengajak para mualaf bagi sama-sama menghayati bulan Ramadan dengan melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Quran, sembahyang Sunat Tarawih dan Witir secara berjemaah.

    Di samping mengeratkan hubungan silaturahim bersama mualaf, aktiviti seumpama ini juga merupakan salah satu syiar bagi melicinkan gerakan-gerakan dakwah.

    Majlis turut dikendalikan Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dan disertai oleh pegawai dan kakitangan dari Bahagian Kajian dan Penerbitan, dan Bahagian Sumber Manusia, Perancangan dan Penyelidikan.

    Antara mualaf yang menghadiri majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda