Friday, December 20, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PDS berjaya eksport produk ke Singapura

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd sebuah anak syarikat Darussalam Assets Sdn Bhd telah mencapai satu pencapaian yang luar biasa apabila memperoleh akreditasi daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk mengeksport produk berasaskan daging yang diproses ke Singapura.

    Ini adalah pencapaian yang pertama kali di Brunei dan menunjukkan kejayaan besar bagi syarikat serta negara.

    Sehubungan itu, satu majlis Doa Kesyukuran telah diadakan pagi tadi di BIACC, Berakas dengan dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan, Dr. Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin.

    Gambar ramai warga PDS dengan Dr Hajah May Fa’ezah di majlis berkenaan.

    Menurut kenyataan PDS, setelah membangunkan kapasiti pemprosesan yang lebih besar dan meningkatkan strategi selama bertahun-tahun, PDS bersedia untuk mengeksport 10 produk yang mendapat pengesahan Halal Brunei ke Singapura dan usaha berkenaan merupakan kesinambungan kejayaan syarikat setelah memasuki pasaran Sabah pada 2023.

    Bagi operasi di Singapura, PDS telah menjalin kerjasama dengan Pondok Abang, sebuah syarikat pengeluar makanan halal terkemuka di Singapura, Malaysia, dan Indonesia; untuk menguruskan pengedaran dan pemasaran produknya.

    Menyentuh mengenai kerjasama strategik dengan Pondok Abang,kedua-dua syarikat akan merangka kempen promosi dan pemasaran yang menyasarkan acara utama seperti Ramadhan, Hari Raya, dan Ekspo Makanan dan Hotel Asia (FHA) yang dijadualkan pada April 2025.

    Selain itu, PDS juga akan terlibat dalam perjanjian OEM di Brunei Processing Facility di Brunei untuk penjualan produk Pondok Abang di sini. Ini termasuk memperoleh pensijilan Halal Brunei untuk dua produk Pondok Abang yang akan dihasilkan di Brunei.

    Kejayaan memperoleh akreditasi SFA berkenaan merupakan langkah penting bagi PDS untuk memperluas keupayaan eksport ke pasaran antarabangsa yang lain. Ini dapat dicapai melalui kerjasama rapat dengan kementerian, jabatan kerajaan, dan agensi yang berkaitan.

     Suasana semasa majlis kesyukuran berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda