Jumaat, November 21, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pearly-Thinaah enggan dabik dada kejayaan di Japan Masters

    KUALA LUMPUR, 17 NOV – Selepas merangkul gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ketiga musim ini di Japan Masters 2025 semalam, beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah menegaskan perjuangan mereka masih panjang.

    Thinaah yang mengimbas kembali kemenangan 22-20, 21-19 ke atas Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun di final kejohanan Super 500 di Kumamoto Prefectural Gymnasium, berkata mereka akan menikmati detik berkenaan tetapi tidak akan terlalu dibuai dengan kejayaan yang dicapai.

    “Kami sangat gembira dengan kemenangan ini, tetapi masih banyak perkara yang perlu kami pelajari dan perbaiki.

    “Buat masa ini, kami akan meraikannya, tidak mendabik dada dan terus fokus pada cabaran seterusnya,” katanya dalam kenyataan ringkas yang dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini.

    Naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu, yang telah memenangi kejohanan Terbuka Thailand dan Terbuka Artik tahun ini, kini mendahului Iwanaga-Nakanishi dengan rekod pertemuan 7–2.

    Kemenangan di Jepun juga membolehkan beregu wanita nombor dua dunia itu meraih hadiah AS$37,525 (kira-kira RM155,190). – Bernama

    Gambar bertarikh 22 Mei 2025 menunjukkan Pearly (kanan) dan Thinaah pada perlawanan kejohanan Perodua Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda