KUALA LUMPUR, 15 SEPT – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah hanya memerlukan 38 minit sebelum mengesahkan gelaran Terbuka Hong Kong 2024 di Hong Kong Coliseum, Kowloon, hari ini.
Ia merupakan kejuaraan pertama gandingan negara pada musim ini, selepas mengecewakan pasangan di ranking ketiga dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China 21-14, 21-14.
Pada aksi final, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking kelapan dunia turun dengan corak permainan lebih agresif hingga lawan mereka nampak buntu dan melakukan banyak kesilapan mudah.
Kejayaan ini sekali gus menamatkan kemarau kemenangan pasangan negara di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang kali terakhir diperoleh dua tahun lepas.
Sementara itu, Thinaah berkata kejayaan dicapai mereka hari ini merupakan hadiah kepada seluruh peminat sukan badminton tanah air sempena sambutan Hari Malaysia esok, selepas terlepas kejuaraan di Terbuka Korea bulan lepas.
“Kami tidak pernah terfikir mengenainya (beregu wanita pertama Malaysia menjuarai Terbuka Hong Kong), jadi kami sangat gembira dapat lakukannya. Kejayaan ini membantu kami untuk lebih yakin pada masa akan datang.
“Ketika mata akhir, saya rasa kami sependapat untuk menamatkan permainan dengan cepat dan ia menyebabkan kami melakukan kesilapan mudah yang tidak sepatutnya berlaku. Kami akan beri perhatian mengenai perkara ini dan lebih berwaspada,” katanya melalui rakaman audio dikongsi BWF hari ini.
Bagi Pearly pula, beliau mengakui komunikasi berkesan adalah kunci kejayaan mereka dan berharap momentum kecemerlangan itu dapat diteruskan pada kejohanan akan datang.
Untuk rekod, kali terakhir Pearly-Thinaah meraih gelaran juara ialah pada Terbuka Perancis 2022. – Bernama