KUALA LUMPUR, 9 OKT – Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan-M.Thinaah telah berjaya ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2025 selepas mudah menewaskan gandingan Indonesia di Vantaan Energia Areena, Vantaa, Finland, hari ini.
Pasangan nombor dua dunia itu tidak berdepan tentangan sengit sebelum mencatatkan kemenangan 21-15, 21-13 ke atas Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dalam masa 38 minit pada aksi pusingan 16 terbaik.
Di peringkat suku akhir esok, Pearly-Thinaah yang muncul naib juara edisi lepas, telah dijadualkan untuk berdepan dengan pemenang perlawanan, Margot Lambert-Camille Pognante dari Perancis dan pasangan Taiwan Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun.
Sementara itu, beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie turut mengesahkan slot ke suku akhir selepas hanya mengambil masa 19 minit untuk menundukkan pasangan Itali-England, Innocenzo Santoro-Karen Feng Yun Qiao 21-2, 21-5.
Soon Huat-Shevon bakal berdepan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran selepas pilihan ketiga kejohanan itu menewaskan wakil Republik Czech, Ondrej Kral-Tereza Svabikova 21-15, 21-16. – Bernama


