Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pearly-Thinaah mudah atasi gandingan Hong Kong

    KUALA LUMPUR, 28 OGOS – Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah tidak berdepan masalah untuk menempah tempat ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2025 selepas mudah melepasi halangan gandingan Hong Kong di Paris, Perancis, semalam.

    Pada aksi pusingan kedua di Adidas Arena, pasangan nombor dua dunia itu hanya memerlukan 37 minit untuk menoktahkan kemena-ngan ke atas Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan 21-17, 21-14.

    Menanti Pearly-Thinaah di pusingan seterusnya ialah antara pasangan tuan rumah Tea Margueritte-Flavie Vallet dan gandingan Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

    Pada masa sama, beregu lelaki Malaysia, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mudah mengetepikan wakil Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-13, 21-17 untuk mara ke pusingan ketiga.

    Wan Arif-Roy King akan membuat perhitungan menentang antara rakan senegara yang juga bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley.

    Turut mara ialah beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin selepas mengatasi Malik Bourakkadi-Leona Michalski dari Jerman 21-10, 18-21, 21-12 dan Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie yang menundukkan Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong dari Thailand 21-19, 21-15.

    Bagaimanapun, Pang Ron-Su Yin dan Soon Huat-Lai Shevon akan bertemu sesama mereka di pusingan ketiga.

    Dalam pada itu, wakil Malaysia yang terkandas ialah perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto, 21-17, 13-21, 23-25; beregu wanita Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang tumpas di tangan wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva, 11-21, 9-21; dan perseorangan wanita, K. Letshanaa, selepas tewas di tangan Pusarla V. Sindhu dari India 19-21, 15-21. – Bernama

    Reaksi Pearly Tan dan Muralitharan Thinaah semasa perlawanan pusingan 32 beregu wanita menentang Lui Lok Lok dan Tsang Hiu Yan di Kejohanan Badminton Dunia BWF di Adidas Arena, Paris, pada 27 Ogos. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda