Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pearly-Thinaah tebus kekecewaan, juara Terbuka Artik

    KUALA LUMPUR, 12 OKT – Gandingan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah menebus kekecewaan tahun lalu apabila muncul sebagai juara Terbuka Artik 2025 dengan aksi bertenaga di Arena Vantaan Energia, Vantaa, Finland, hari ini.

    Pilihan kedua kejohanan itu hanya memerlukan 32 minit untuk menundukkan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kei Nakanishi 21-7, 21-9 bagi meraih gelaran kedua dalam siri Jelajah Dunia BWF tahun ini selepas Terbuka Thailand pada Mei lalu.

    Pearly-Thinaah, beregu nombor dua dunia, mempamerkan penguasaan penuh sejak awal permainan dengan corak serangan agresif dan pukulan kemas untuk mendahului 11-4 sebelum menutup set pertama 21-7 dalam masa 14 minit.

    Momentum sama diteruskan pada set kedua apabila mereka terus menghukum lawan untuk mendahului 11-3, sebelum kesilapan Nakanishi yang gagal membalas pukulan Pearly menghadiahkan mata kemenangan 21-9 buat wakil Malaysia.

    Kemenangan tersebut juga merupakan kemenangan keenam daripada lapan pertemuan mereka menentang pasangan Jepun itu iaitu sejak pertemuan pertama di Kejohanan Antarabangsa Sydney 2019. – Bernama

    Pearly Tan-M Thinaah muncul sebagai juara Terbuka Artik 2025 di Arena Vantaan Energia, Vantaa, Finland pada 12 Oktober. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda