Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pearly-Thinaah tewas di tangan beregu nombor satu dunia

    JAKARTA, 8 JUN – Hasrat beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah untuk melakar kejuaraan sulung di kejohanan bertaraf Super 1000 tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China pada aksi final Terbuka Indonesia 2025 di Istora Senayan, hari ini.

    Dalam perlawanan sengit selama 87 minit, pasangan pilihan keempat dunia itu akhirnya terpaksa tunduk 25-23, 12-21, 19-21.

    Pearly-Thinaah berjaya bangkit daripada ketinggalan 8-14 pada set pembukaan untuk meraih kemenangan 25-23 namun dominasi lawan pada dua set berikutnya menyaksikan pasangan negara gagal mengekalkan rentak.

    Kini berada di kedudukan keempat dunia dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Pearly-Thinaah beberapa kali cuba mendahului permainan namun pasangan China berjaya mengekalkan kelebihan mereka sehingga ke penghujung.

    Selepas perlawanan, Pearly menjelaskan masih banyak ruang yang perlu dipelajari dan diperbaiki untuk meningkatkan prestasi terutamanya penetapan minda meskipun telah turun bermain dengan semangat tinggi.

    “Kami sebenarnya berada dalam kedudukan yang baik, sepatutnya boleh tamatkan perlawanan dengan kelebihan. Tapi di penghujung, mungkin kami agak hilang fokus sedikit,” katanya.

    “Sebenarnya, dari awal permainan lagi kami sudah rasa penat, tapi kami saling ingatkan sesama sendiri untuk terus bertahan, sebab ini perlawanan terakhir. Kami hanya mahu beri segalanya yang kami ada di atas gelanggang,” tambah Pearly.

    Sementara itu, Thinaah berkata mereka akan menggunakan masa lapang bulan ini untuk berehat sepenuhnya dan memulihkan tenaga kerana tiada kejohanan besar yang akan disertai dalam tempoh terdekat. – Bernama

    Aksi Pearly semasa perlawanan separuh akhir kejohanan Terbuka Indonesia 2025 yang berlangsung di Istora Senayan Jakarta pada 7 Jun. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda