Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Seorang pekerja bahagian jualan di sebuah syarikat dijatuhi hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Perantaraan selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pecah amanah melibatkan wang sebanyak $10,269.30.
Selain hukuman penjara, Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli turut memerintahkan Liaw Jye Mei, 32, untuk membayar baki wang $8,155.47 atau berdepan hukuman tambahan tiga bulan penjara.
Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah $4,154.50 antara November 2015 hingga Oktober 2016 dan $6,114.80 lagi antara November 2016 hingga Mac 2017. Perbuatan tertuduh hanya disedari pada April 2017 apabila wang pembayaran berjumlah $10,269.30 yang dibuat oleh pelanggan syarikat didapati hilang dalam sistem syarikat.
Laporan polis dibuat, yang mana tertuduh mengaku mengambil wang itu untuk kegunaannya. Tertuduh bagaimanapun hanya membayar balik $2,113.83 daripada jumlah keseluruhan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah binti Haji Lakim.