Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Nasib seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah akan diketahui pada 2 Februari di Mahkamah Perantaraan di sini.
Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menetapkan tarikh sebutan hukuman itu terhadap Mohammad Radzuan bin Mohd Daud, 35, yang mengaku bersalah kerana menggelapkan wang berjumlah $3,009.29 milik syarikat majikannya antara Januari dan Februari 2016.
Dia yang bertugas di Bahagian Jualan dan Pemasaran Ideal Marketing (B) Sdn Bhd didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah binti Pehin Dato Haji Suhaili di bawah Seksyen 406 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga denda.
Fakta kes menyebut, antara 2 Januari dan 11 Februari 2016, tertuduh telah menerima pembayaran daripada pelanggannya bagi penghantaran ayam.
Selepas menerima pembayaran, tertuduh mengeluarkan resit kepada pelanggannya. Tertuduh tanpa menyerahkan wang pembayaran itu kepada penyelaras akaun syarikat, telah menggunakannya untuk perbelanjaan sendiri.
Perbuatan tertuduh hanya terbongkar pada 15 Februari 2016 apabila syarikat itu menjalankan audit dalaman.
Laporan polis dibuat pada 16 Mac 2016 di mana tertuduh mengaku melakukan pecah amanah tersebut.