Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Seorang Pengurus Shift di Pandu Lalu McDonald yang berdepan dakwaan melakukan pecah amanah bakal mengetahui nasibnya pada 20 Mac ini di Mahkamah Perantaraan.
Nurawani binti Haji Puting, 39, mengaku bersalah di hadapan Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni atas pertuduhan yang membabitkan wang $2,300 milik McDonald. Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 5 dan 6 Mac 2017.
Tugas tertuduh antara lain adalah untuk mengawasi, mengira dan mengesahkan hasil jualan yang dikumpulkan sebelum menyimpannya di dalam peti keselamatan untuk dibawa ke bank pada keesokan harinya.
Pada 5 dan 6 Mac, tertuduh mengesahkan hasil jualan adalah dalam jumlah sama seperti yang dikira oleh salah seorang daripada pengurus McDonald.
Perbuatan tertuduh itu terbongkar apabila wang yang dibawa dan dikira semula oleh pihak bank didapati berkurangan.
Dia mengaku menggelapkan wang itu untuk kegunaan peribadi.
Tertuduh bagaimanapun telah membayar ganti rugi sepenuhnya kepada McDonald pada 14 Mac.
Hakim Radin Safiee memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman di Penjara Jerudong sehingga tarikh sebutan hukuman.
Timbalan Pendakwa Raya Yvonne Lim mengemukakan tuduhan di bawah Seksyen 408 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda.