Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pecah masuk: Nasib 5 lelaki Vietnam diketahui 7 November

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Lima lelaki warga Vietnam yang mengaku bersalah atas tuduhan pecah masuk dan melakukan rompakan berkumpulan, akan mengetahui hukuman mereka di Mahkamah Tinggi pada 7 November.

    Hakim Pengiran Datin Paduka Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman menetapkan sebutan hukuman itu terhadap Ta Duc Hai, 22, Ta Duc Quyet, 38, Ta Duc Cuong, 38, Nguyen Tam Quy, 25, dan Phan Duc Loc, 33.

    Ta Duc Hai, Ta Duc Quyet, Ta Duc Cuong dan Nguyen Tam Quy yang berada di negara ini menggunakan pas melawat didakwa mencuri $4,000 dari sebuah syarikat pengedar makanan di Perindustrian Lambak Kanan pada awal pagi 2 September 2017 dan pada masa sama telah mengikat seorang pekerja syarikat warga India berusia 50 tahun yang ketika itu tidur di atas sofa. Wang yang dicuri itu kemudian dibahagi rata sesama mereka.

    Mereka sekali lagi memecah masuk sebuah syarikat pengedar minuman di Perindustrian Beribi pada 7 September 2017 dan mencuri wang berjumlah $4,000 yang kemudian dibahagi sesama mereka.

    Ta Duc Hai, Ta Duc Quyet, Ta Duc Cuong, Nguyen Tam Quy dan rakan mereka, Phan Duc Loc yang bekerja sebagai pekerja binaan di negara ini turut memecah masuk sebuah syarikat makanan di Perindustrian Junjongan pada 24 September 2017 kira-kira jam 10 malam. Mereka mencuri wang $8,000 yang kemudian dibahagi rata.

    Mereka sekali lagi memecah masuk sebuah syarikat di Jalan Ikas Bandung pada 29 September 2017 namun perbuatan mereka yang cuba membuka tingkap telah membuat seorang pekerja terjaga daripada tidur apabila terdengar ‘bunyi’ yang datang dari arah tingkap. Kesemua tertuduh melarikan diri apabila pekerja itu menjerit ke arah mereka.

    Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Latiff memaklumkan mahkamah bahawa siasatan mendedahkan tertuduh telah membelanjakan wang yang dicuri untuk membayar sewa rumah, perbelanjaan harian dan membeli kelengkapan rumah.

    Polis hanya menemukan semula wang berjumlah $7.40, mata wang Singapura $10 dan RM1.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda