Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pecah rumah: Dua dijatuhi hukuman penjara, sebat

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Seorang penduduk tetap dengan seorang warga tempatan yang telah mengaku bersalah atas tuduhan pecah rumah untuk mencuri telah dijatuhkan hukuman penjara dan sebat, kelmarin.

    Hakim Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Abu Hurairah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan empat bulan berserta dua sebatan ke atas penduduk tetap, Rosleni bin Mahrop, 44, manakala itu, warga tempatan, Aizuddin bin Haji Mat Salleh, 35, ditetapkan hukuman penjara dua tahun dan dua bulan dengan dua kali sebatan.

    Pendakwa Raya Abdul Musawwir bin Haji Awang Mahli dan Pendakwa Raya Ahmad Firdaus bin Mohammad mendedahkan bahawa rentetan peristiwa bermula apabila Rosleni melawat kediaman Aizuddin di Jalan Kota Batu, Kampung Pelambayan, pada petang 21 April.

    Semasa kunjungan itu, Rosleni, Aizuddin dan seorang individu yang tidak dikenali (individu A) berbincang dan merancang untuk melakukan curi di rumah lain yang terletak di Kampung Dato Gandi.

    Pada pukul 9 malam, ketiga-tiga mereka pergi ke rumah yang disasarkan. Sebaik tiba, mereka memasuki rumah itu melalui lubang tersembunyi yang terletak di bawah lantai bilik stor.

    Gambar Freepik

    Sebaik sahaja di dalam, ketiga-tiga mereka mencari barang berharga untuk dicuri. Rosleni mengambil sepasang kasut sukan dari ruang tamu, bersama peti keselamatan yang diserahkan oleh individu A kepadanya. Dalam pada masa yang sama, Aizuddin menemui tali pinggang logam perak di dapur.

    Bagaimanapun, percubaan mereka tergendala apabila Rosleni secara tidak sengaja mencetuskan alat penggera siren di dalam rumah, mendorong mereka tergesa-gesa meninggalkan rumah itu melalui lubang tersembunyi yang sama.

    Percubaan mereka untuk melarikan diri menemui kegagalan apabila seorang jiran rumah berkenaan memerhatikan tingkah laku mereka yang mencurigakan yang akhirnya menyebabkan berlakunya kejar-mengejar.

    Ini mengakibatkan Rosleni menjatuhkan peti keselamatan ketika tergesa-gesa untuk melarikan diri dari tempat kejadian.

    Sekitar 9:30 malam, seorang penghuni rumah jiran melaporkan kejadian itu kepada polis.
    Susulan laporan itu, polis memulakan siasatan yang membawa kepada penahanan Rosleni dan Aizuddin pada 22 April.

    Siasatan polis dan pengakuan seterusnya oleh kedua-dua defendan mengesahkan penglibatan mereka dalam kecurian itu, dengan barang-barang yang ditemui termasuk tali pinggang logam perak, sepasang kasut sukan dan alat penggera siren lampu merah.

    Bagaimanapun, beberapa barangan termasuk tujuh telefon bimbit dan sistem CCTV, masih belum ditemui.

    Mahkamah menyatakan bahawa Rosleni mempunyai sabitan terdahulu berkaitan kes kesalahan-kesalahan harta pada 2008 dan 2017, manakala Aizuddin mempunyai sabitan terdahulu berkaitan kesalahan-kesalahan serupa pada 2014.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda