Monday, March 31, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pedang ninja akan diharamkan di UK mulai Ogos

    LONDON, 28 MAC – Pedang ninja akan diharamkan di United Kingdom (UK) mulai Ogos ini dalam langkah seterusnya untuk memutuskan kitaran pemilikan senjata dalam kalangan belia, lapor agensi Anadolu memetik satu kenyataan rasmi kelmarin.

    Langkah perundangan baharu itu diperkenalkan susulan bahagian terakhir dibentangkan di Parlimen kelmarin, yang akan menjadikan pemilikan, pembuatan, pengimportan dan penjualan pedang ninja di UK sebagai satu kesalahan mulai 1 Ogos.

    Undang-undang Ronan diperkenalkan bagi memperingati Ronan Kanda, yang dibunuh pada 2022 oleh beberapa remaja yang membeli senjata berbahaya dalam talian dan mengambilnya daripada pejabat pos pada hari kejadian tanpa sebarang pemeriksaan umur atau identiti.

    “Mulai 1 Ogos, sesiapa yang didapati memiliki pedang ninja boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan, yang kemudiannya akan meningkat kepada dua tahun di bawah langkah baharu dalam Rang Undang-undang Jenayah dan Pengawasan,” menurut kenyataan Pejabat Dalam Negeri UK.

    Setiausaha Dalam Negeri, Yvette Cooper berkata jenayah melibatkan senjata tajam telah meragut banyak nyawa golongan muda, dengan terlalu ramai remaja terjebak dalam kancah keganasan kerana akses kepada senjata berbahaya yang terlalu mudah.

    Merujuk kepada pembunuhan tragis Ronan Kanda, beliau berkata dengan memperkenalkan bahagian terakhir Undang-undang Ronan sebagai penghormatan kepadanya, kerajaan mengharamkan pedang ninja yang ‘sepatutnya tidak boleh digunakan oleh pembunuhnya.’

    “Kami bertindak dengan segera untuk memperkenalkan langkah-langkah bagi menghalang senjata berbahaya daripada jatuh ke tangan yang salah dan akan terus melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi mengelakkan belia terbunuh di jalanan, sebagai sebahagian daripada misi kami untuk mengurangkan separuh jenayah melibatkan senjata tajam dalam tempoh sedekad akan datang,” katanya.

    Perdana Menteri Keir Starmer turut mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di platform X, “Sah, pedang ninja akan diharamkan menjelang musim panas ini. Apabila kami berjanji untuk bertindak, kami akan melaksanakannya.” – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda