NEW YORK, 8 DIS – Pedang yang dibawa oleh Napoleon Bonaparte apabila beliau melancarkan rampasan kuasa pada 1799 dan lima daripada senjata apinya dijual dengan harga AS$2.9 juta pada pelelongan, umum firma lelong AS semalam.
Kesemua barangan tersebut, yang ditawarkan untuk dilelong oleh Syarikat Lelong Rock Islam di Illinois, dijual pada 3 Disember menerusi telefon kepada seorang pembeli yang ingin merahsiakan namanya, beritahu presiden syarikat Kevin Hogan kepada AFP.
Pedang dan lima pucuk pistol pada mulanya dinilai pada AS$1.5 juta hingga AS$3.5 juta.
Dengan penjualan itu, ‘pembeli Napoleon Garniture membawa pulang secebis sejarah yang amat berharga,’ kata Hogan. “Kami gembira kerana telah memberikan peluang kepada mereka untuk memperoleh objek bersejarah berkenaan.”
Pedang, bersama sarungnya merupakan koleksi ‘perhiasan kebesaran diraja,’ menurut firma pelelongan.
Senjata itu dibuat oleh Nicolas-Noel Boutet, pengarah kilang senjata negeri di Versailles.
Selepas ditabalkan maharaja, Napoleon dipercayai telah menghadiahkan pedang itu kepada jeneral Jean-Andoche Junot, tetapi isteri jeneral dipaksa menjualnya untuk melangsaikan hutang. – AFP