VLORE, ALBANIA, 12 MEI – Pelumba Denmark, Mads Pedersen sekali lagi mencipta kejutan apabila muncul juara peringkat ketiga Giro d’Italia 2025 dalam saingan pecut berkumpulan yang berlangsung di bandar Vlore kelmarin. Acara turut menampilkan insiden di mana seekor kambing gunung berlari melalui peloton.
Kemenangan itu merupakan yang kedua buat pelumba pasukan Lidl-Trek selepas kejayaan sulung pada hari pembukaan, yang kini meletakkannya sembilan saat di hadapan jaguh Slovenia, Primoz Roglic, dalam kedudukan keseluruhan.
Meskipun laluan sejauh 10.7 kilometer (km) dengan cerun purata tujuh peratus menanti 35km sebelum garisan penamat, laluan lurus sepanjang 1km di pesisir pantai Adriatik menjadi penentu utama saingan. Pedersen melancarkan pecutan awal dan berjaya mengekang kebangkitan lewat Corbin Strong dari pasukan IPT.
“Itulah yang kami mahukan hari ini. Kami sudah memiliki dua kemenangan dan jersi merah jambu,” kata Pedersen yang jelas teruja, yang menamatkan saingan dalam masa 3 jam 49 minit 47 saat.
Insiden unik turut berlaku apabila seekor kambing gunung melintas dan merempuh Dion Smith dari pasukan Intermarche-Wanty ketika mendaki kawasan bukit di luar Vlore.
Namun, tiada kecederaan dilaporkan berlaku kepada Smith mahupun kambing itu, yang diperhatikan oleh sekumpulan kambing lain dan seekor anjing besar yang berkeliaran. Smith menunjukkan refleks pantas untuk terus mengekalkan keseimbangan meskipun berdepan kejadian tidak dijangka itu. – AFP
