Tuesday, November 19, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pegawai awam Singapura, Brunei sertai CSEP

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Seramai 11 pegawai kanan masing-masing daripada perkhidmatan awam Singapura dan Brunei telah menyertai Program Pertukaran Perkhidmatan Awam (CSEP) Eselon Kedua Brunei-Singapura ke-22 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam (IPA), hari ini.

    Program bertemakan Membina Masa Depan Bersama memfokuskan kepada pelbagai isu di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Matlamat SDG yang merangkumi pembangunan yang bertanggungjawab ke atas kemampanan sosial, ekonomi dan alam sekitar.

    Hadir bagi merasmikan program berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib.

    Dalam ucapan perasmian, beliau antara lain menggariskan tentang visi kedua-dua buah negara untuk menyumbang ke arah pencapaian SDG PBB dalam mempromosikan keamanan dan kemakmuran global.

    Selain itu, beliau turut menjelaskan kedudukan Brunei dan Singapura dalam SDG Dashboard, di mana Brunei menduduki di tempat ke-96 daripada 166 negara, dengan skor 67, manakala Singapura pula menduduki tempat ke-65, dengan skor 71.4.

    Gambar ramai para peserta CSEP dari kedua-dua buah negara bersama tetamu kehormat majlis. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Kedua-dua negara menunjukkan prestasi baik dalam kategori seperti Pendidikan Berkualiti dan Bandar dan Komuniti Mampan,” jelasnya.

    Dari segi kerjasama berkaitan dengan SDG, beliau berkata Brunei dan Singapura secara konsisten telah berkongsi maklumat mengenai pemantauan kualiti udara dan pencemaran, menjaga kebersihan sungai serta meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan belia.

    Katanya lagi, “Ini telah ditekankan pada mesyuarat kedua-dua buah negara semasa Pertukaran Lawatan Tahunan Brunei Darussalam-Singapura mengenai Alam Sekitar kali ke-7 (BSAEV) pada Ogos lalu di Singapura.

    “Kerjasama seperti ini yang melangkaui sempadan mewakili usaha untuk mencapai pembangunan mampan dan memastikan persekitaran yang sihat dan bersih di rantau ini,” tambahnya.

    Delegasi Singapura bagi program tersebut diketuai oleh Timbalan Setiausaha Masyarakat dan Pembangunan Digital di Kementerian Pembangunan dan Penerangan Digital Singapura, Fong Su-Yi Gwenda, sementara Brunei pula diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.

    Program selama empat hari yang bermula hari ini sehingga 22 November ini, akan memberi peluang kepada peserta untuk belajar dan berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam menyediakan perkhidmatan awam bagi menghadapi cabaran semasa dan masa depan yang relevan dan saling berkait rapat dengan seluruh dunia.

    Program berkenaan juga akan diisi dengan perkongsian daripada agensi berkaitan, perbincangan strategik dengan kementerian di samping proses pembelajaran termasuk lawatan ke Ladang Springhill, ladang negatif karbon mampan berasaskan organik di mana ia dikendalikan oleh penduduk tempatan yang tidak menggunakan air atau elektrik yang dibekalkan oleh kerajaan.

    Program anjuran bersama IPA dan Kolej Perkhidmatan Awam (CSC), CSEP itu diadakan setiap tahun sejak tahun 2002 dan telah menyediakan platform untuk penjawat awam dari kedua-dua negara menjalin rangkaian, mempelajari amalan terbaik dan menjalin hubungan lebih erat di peringkat pegawai kanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda