Pegawai China bunuh diri selepas tembak 2 orang

BEIJING, 4 Jan – Seorang pegawai bandar berpangkat tinggi di China menyerbu masuk ke mesyuarat kerajaan hari ini dan menembak datuk bandar dan setiausaha parti bandar sebelum membunuh dirinya, lapor media kerajaan.

Suspek Chen Zhongshu, 54, setiausaha biro tanah di Panzhihua, sebuah bandar dengan 1.2 juta penduduk di wilayah barat daya Sichuan, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Serangan itu berlaku semasa mesyuarat jawatankuasa parti perbandaran dan kader kerajaan berperingkat tinggi di pusat pameran dan konvensyen Panzhihua, katanya.

Lelaki bersenjata itu melepaskan beberapa tembakan, mencederakan ketua parti bandar Zhang Yan dan datuk bandar Li Jianqin sebelum melarikan diri, lapor Xinhua, tanpa memberi butiran selanjutnya mengenai motif atau latar belakang insiden tersebut.

Dua lelaki berkenaan dimasukkan ke hospital, namun kecederaan mereka tidak mengancam nyawa.

Suspek membunuh dirinya selepas serangan itu dan ditemui di tingkat dua bangunan tersebut, menurut Xinhua.

Cawangan media China, Jiemian.com memetik seorang pegawai bandar yang tidak dinamakan berkata bahawa Chen terkenal seorang yang panas baran dan degil. – AFP