Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Pegawai cukai Jepun ditangkap terlibat penipuan bantuan COVID

    TOKYO, 2 JUN – Seorang pegawai cukai Jepun telah ditangkap, didakwa terlibat dalam sindiket penipuan yang merekrut 200 orang untuk mencuri AS$1.5 juta bantuan COVID, kata polis dan media hari ini.

    Lelaki berusia 24 tahun itu bersama rakannya dituduh meyakinkan orang ramai untuk memohon bagi subsidi kerajaan bagi pemilik perniagaan menerusi teknik tipu, menurut penyiaran awam NHK dan cawangan media lain.

    Mereka dilaporkan telah berjaya mengumpan sekitar 200 peserta – terutama pelajar universiti dan sekolah tinggi – menerusi aplikasi mesej, menjanjikan wang itu akan dilaburkan dalam mata wang kripto.

    Seorang jurucakap polis Tokyo memberitahu AFP, bahawa seorang ‘kakitangan awam berusia 24 tahun’ telah ditangkap kelmarin ‘kerana memperoleh wang secara menipu di bawah nama subsidi virus’, bersama rakannya yang berusia 22 tahun yang bekerja di bawah syarikat yang tidak dinamakan.

    Laporan mengatakan suspek penipuan itu disyaki mencuri sejumlah 200 juta yen (AS$1.54 juta) namun tangkapan awal berjaya mendapatkan sekitar 1 juta yen, manakala selebihnya masih disiasat.

    Lima yang lain, kesemuanya berusia dalam 20an juga dilaporkan telah ditangkap berhubung kes tersebut.

    Bagaimanapun, polis masih mencari dalang skim itu yang berusia dalam lingkungan 30an yang telah melarikan diri ke Dubai pada Februari, menurut akhbar harian Yomiuri Shimbun. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...