Friday, February 21, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pegawai imigresen didakwa 17 pertuduhan rasuah lebih RM14,000

    TAWAU, 18 FEB – Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM14,250, dua tahun lepas.

    Kartika Dewiana Bacho, 37, yang bertugas di kaunter pemeriksaan imigresen Lapangan Terbang Tawau membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

    Wanita itu didakwa menerima wang berkenaan untuk diri sendiri daripada akaun peribadi seorang lelaki, Eryano Jabar, tanpa balasan, sedangkan tertuduh mengetahui individu berkenaan menguruskan pergerakan warga asing melalui pemeriksaan imigresen Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa cawangan Maybank sekitar Tawau pada Januari hingga Mac 2023 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 11 Mac bagi pengurusan kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000, dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan termasuk larangan mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom, manakala Kartika Dewiana diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda