TOKYO, 11 APRIL – Pegawai Jepun dan Amerika Syarikat (AS) hari ini, mengumumkan bahawa mereka akan menjalankan rondaan bersepadu di Okinawa, susulan beberapa kes serangan seksual yang melibatkan anggota tentera AS.
AS mempunyai kira-kira 54,000 anggota tentera yang ditempatkan di Jepun, kebanyakannya di Okinawa yang terletak di selatan negara itu. Tingkah laku anggota tentera tersebut sejak sekian lama mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk tempatan.
Operasi bersepadu yang pertama ini, akan dijalankan di kawasan yang sibuk sehingga awal pagi keesokan harinya, dicadangkan oleh pihak AS.
“Rondaan bersama ini akan diadakan pada malam 18 April, dan mungkin merupakan acara bersama pertama seumpamanya sejak tahun 1973,” kata seorang pegawai di wilayah Okinawa kepada AFP.
Gabenor Okinawa, Denny Tamaki, mungkin akan turut serta dalam rondaan tersebut, tambah pegawai itu lagi.
Rondaan ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap kerjasama, akauntabiliti dan saling menghormati, kata Mejar Jeneral Roger Turner, Komander III Marine Expeditionary Force dan Penyelaras Kawasan Okinawa.
“Dengan bekerjasama rapat bersama rakan Jepun kami, kami memperkukuh piawaian bersama, dan menyumbang kepada keselamatan serta kepercayaan yang menjadi asas kekuatan pakatan AS-Jepun,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP
