Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Pegawai-pegawai kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berpeluang untuk mengenali dan diberikan penerangan mengenai kapal Angkatan Maritim Pertahanan Diri Jepun (JMSDF), JS KIRISAME, semasa lawatan ke atas kapal berkenaan di Pelabuhan Muara, hari ini.
Kumpulan pegawai-pegawai kadet ABDB berkenaan telah dialu-alukan oleh Komander Escort Divison 4, Kapten Maki Takayuki. Lawatan itu adalah sebahagian daripada program pertukaran di mana pegawai-pegawai kadet Jepun telah mengadakan lawatan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).
JS KIRISAME berlabuh di Pelabuhan Muara bermula kelmarin hingga esok di mana lawatan berkenaan bermatlamat untuk mempromosikan hubungan persahabatan yang mesra antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun.
Lawatan juga dihasratkan untuk memupuk dan mengembangkan asas kemahiran, pengetahuan serta perspektif antarabangsa dengan mempromosikan hubungan persahabatan yang mesra dengan negara-negara sahabat.





