Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Seorang pegawai kanan kerajaan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi menghadapi pertuduhan salah laku dalam jawatan awam.
Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Wardi bin Haji Mohammad Ali, 51, didakwa melakukan dua kesalahan salah laku sebagai penjawat awam yang menyebabkan penyalahgunaan kepercayaan orang ramai terhadap jawatan tinggi yang disandangnya ketika kesalahan itu dilakukan antara 2020 dan 2021, dengan memihak kepada dua buah hotel di Daerah Tutong dan Belait, sebagai balasan kerana dibenarkan untuk tidak membuat pembayaran segera semasa daftar keluar bagi penggunaan bilik hotel pada pelbagai kesempatan yang dikenakan bayaran $2,277 dan $2,904.
Pengurus acara tersebut adalah vendor yang mengambil bahagian dalam Festival Disember Brunei (BDF) 2020, acara yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP, yang berada di bawah bidang kuasa defendan.
Tiga pertuduhan alternatif juga dibacakan terhadap defendan yang mendakwa dia menerima bayaran berjumlah $9,500 tanpa balasan atau untuk balasan yang dia tahu tidak mencukupi, daripada seseorang yang berkaitan dengan tugas rasminya sebagai penjawat awam.
Siasatan yang dijalankan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) mendedahkan bahawa Wardi semasa berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP bertanggungjawab untuk acara BDF 2020 dan mempunyai urusan rasmi dengan beberapa syarikat swasta dan hotel dalam hal berkaitan pelancongan di bawah kementerian berkenaan.
Tiada pengakuan dibuat oleh defendan dan mahkamah menangguhkan kes kepada 20 Jun.
Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff mewakili pendakwa raya.
Majistret Harnita Zelda Skinner membebaskan defendan dengan jaminan mahkamah sebanyak $10,000 atau dengan dua penjamin tempatan.
Sehubungan itu, BMR mengingatkan orang ramai dan pegawai kerajaan, tanpa mengira pangkat dan kedudukan dan tempat kerja mereka, bahawa sebarang penyalahgunaan kuasa atau kedudukan serta sebarang penglibatan dalam amalan rasuah boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah, Bab 131 yang boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda $30,000.


