BAITULMAQDIS, 20 MAC – Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, menyuarakan kebimbangan bahawa penderitaan di Gaza tidak berkesudahan selepas Israel memperbaharui operasi udara dan daratnya.
“Pengeboman oleh Pasukan Israel berterusan dari udara dan laut untuk hari ketiga,” katanya di platform X.
Beliau menyatakan kebimbangan bahawa keadaan akan menjadi lebih buruk susulan serangan darat yang sedang berlaku, yang memisahkan bahagian utara dan selatan Gaza.
Israel mengumumkan operasi darat baharu kelmarin dan mengeluarkan apa yang disifatkan sebagai ‘amaran terakhir’ kepada penduduk Gaza bagi mengembalikan tebusan dan menyingkirkan Hamas daripada kuasa.
Serangan udara besar-besaran sejak Selasa telah mengorbankan sekurang-kurangnya 504 orang, termasuk lebih 190 kanak-kanak, menurut agensi pertahanan awam di wilayah yang dikendalikan Hamas itu.

Pasukan penyelamat Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 10 lagi maut dalam pengeboman sebelum subuh berhampiran Khan Yunis hari ini.
“Di hadapan mata kita setiap hari, penduduk Gaza berulang kali melalui mimpi ngeri paling buruk,” kata Lazzarini, menyifatkan keadaan di wilayah itu sebagai ‘penderitaan paling tidak berperikemanusiaan’.
Tentera Israel hari ini turut melarang pergerakan trafik di laluan utama utara-selatan Gaza.
“Perintah pemindahan memaksa puluhan ribu penduduk melarikan diri,” kata Lazzarini, sambil menambah bahawa majoriti besar penduduk telah pun kehilangan tempat tinggal dan diperlakukan seperti bola pinball sejak perang bermula hampir 1.5 tahun lalu.
Serangan terbaharu Israel telah memecahkan ketenangan relatif yang wujud sejak gencatan senjata sementara pada pertengahan Januari. Ketua UNRWA itu turut mengecam sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah berkuat kuasa sejak awal Mac. – AFP