Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Mahkamah Majistret telah mensabitkan bekas Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) atas kesalahan salah laku dalam jawatan awam yang bertentangan dengan Seksyen 12B Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131.
Defendan, Wardi bin Haji Mohammad Ali telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP pada 19 November 2015 dan terus berkhidmat sehingga beliau digantung tugas pada Februari 2021.
Defendan didapati bersalah kerana dengan sengaja melakukan salah laku apabila menunjukkan sikap memihak kepada dua buah hotel sebagai balasan kerana tidak membuat pembayaran segera semasa mendaftar keluar.
Salah laku berkenaan merupakan satu penyalahgunaan kepercayaan orang ramai terhadap kedudukan beliau sebagai Timbalan Setiausaha Tetap.
Siasatan yang dijalankan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) mendapati bahawa salah laku itu berlaku antara 18 Jun 2020 dan 23 Februari 2021 yang mengakibatkan invois tertunggak berjumlah kira-kira $5,000.
Majistret Kanan, Azrimah binti Abdul Rahman mendapati salah laku tersebut dilakukan dalam tempoh atau berhubung dengan jawatan defendan kerana beliau mempunyai kuasa pemantauan terhadap industri pelancongan termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan pengusaha hotel.
Defendan menegaskan bahawa dia telah memeterai perjanjian jangka kredit dengan hotel-hotel dan wujud jangkaan untuk membuat pembayaran antara mereka.
Walau bagaimanapun, saksi yang dipanggil oleh pendakwaan memberi keterangan mengatakan kedudukan beliau boleh dipertimbangkan untuk tangguhkan pembayaran.
Walaupun defendan mendakwa bahawa peraturan tersebut semata-mata transaksi komersial biasa tetapi bukti menunjukkan sebaliknya.
Dakwaan diperkuatkan lagi dengan mesej teks antara defendan dan pemilik-pemilik hotel yang menunjukkan keadaan minda defendan dan sikapnya yang memihak kepada hotel-hotel berkenaan.
Defendan selanjutnya didapati bersalah dengan sengaja menyalahgunakan amanah orang ramai dengan mencemarkan nama baik pejabat awamnya dengan membenarkan syarikat pengurusan acara memindahkan dana ke dalam akaun bank peribadinya pada tiga tempoh berasingan.
Syarikat pengurusan acara itu menganjurkan acara dengan kerjasama KSSUP yang dikendalikan di bawah tanggungjawab defendan.
Majistret Kanan membuat kesimpulan bahawa tindakan defendan adalah disengajakan tanpa justifikasi munasabah dan menunjukkan penyalahgunaan kuasa yang serius. Kegagalan beliau untuk bertindak secara telus dan mengikut prinsip tadbir urus yang baik menghakis integriti institusi berkenaan.
Dalam semua keadaan, mahkamah mendapati bahawa salah laku defendan menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap pejabatnya dan jauh di bawah piawaian yang diharapkan daripada pegawai kanan awam.
Keputusannya untuk berdiam diri apabila diarah untuk membela diri memperkukuh bahawa tiada penjelasan atau alasan munasabah untuk salah lakunya.
Setelah mensabitkan kesalahan defendan dan mendapati bahawa tiada sebab luar biasa untuk terus memberikan jaminan kepadanya, jaminan defendan telah dibatalkan.
Defendan dijadualkan untuk hadir di Mahkamah lagi pada 30 Julai untuk hujahan pendakwaan mengenai hukuman. Defendan berdepan hukuman denda sehingga $30,000 dan / atau penjara sehingga tujuh tahun.
Perbicaraan telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli dan Jordan Tiah Teck Chiun bagi pihak Pendakwa Raya. Defendan diwakili oleh Yusof Halim & Partners, Advocates & Solicitors.
