Thursday, July 4, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Pegawai pengangkutan kanan ASEAN bersidang di Malaysia

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof telah menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN (STOM) ke-57 dan Dialog Pegawai-pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN dan Amerika Syarikat (ASEAN-US STOD) ke-3 yang berlangsung di Pulau Pinang, Malaysia pada 11 hingga 13 Jun.

    Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan dari MTIC serta pihak berkuasa di bawahnya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MTIC, di sini, Mesyuarat STOM ke-57 dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Tuan Yang Terutama Loke Siew Fook pada 11 Jun lalu.

    Dalam ucapan pembukaannya, TYT Loke Siew Fook merakamkan penghargaan atas usaha kumpulan-kumpulan pengangkutan ASEAN dalam melaksanakan rangka kerja Pelan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur (KLTSP) 2016-2025 semenjak 2015 semasa kepengerusian Malaysia yang lalu.

    Beliau menekankan kepentingan untuk menangani bersama isu-isu sedunia seperti perubahan iklim, globalisasi dan perkembangan kemajuan teknologi serta pemulihan penuh daripada wabak pandemik COVID dan mengambil peluang yang bermanfaat kepada rantau ASEAN.

    Ir Haji Mohammad Nazri semasa menghadiri mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    Gambar ramai pegawai-pegawai kanan pengangkutan ASEAN yang menghadiri mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MTIC

    Mempengerusikan mesyuarat berkenaan ialah Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Dato’ Jana Santhiran Muniayan selaku Pengerusi Mesyuarat STOM pada 2024.

    Mesyuarat STOM ke-57 telah membincangkan status pelaksanaan program-program, aktiviti dan projek di bawah rangka kerja KLTSP 2016-2025 yang dilaksana-kan oleh kumpulan-kumpulan kerja pengangkutan ASEAN.

    Turut diambil perhatian adalah inisiatif berkaitan kesalinghubungan dan kedayatahanan termasuk perkembangan beberapa garis panduan yang akan mendukung peralihan rantau ASEAN kepada ekonomi karbon rendah.

    Selain itu, mesyuarat juga menekankan keperluan untuk menangani teknologi baharu termasuk peluang-peluang dan cabarannya seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), sekuriti siber serta penggunaan, perkongsian dan privasi data dalam perali-han sektor pengangkutan ke arah transformasi digital.

    Hasil daripada mesyuarat itu akan dibincangkan dengan lanjut semasa Mesyuarat STOM ke-58 yang akan menumpukan ke arah menyelesaikan Annual Priorities/Key Deliverables for Transport in 2024 untuk dihadapkan dan dipertimbangkan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-30 nanti.

    Mesyuarat juga bertukar-tukar pendapat mengenai status pelaksanaan kerjasama bersama rakan-rakan dialog seperti China, Jepun dan Republik Korea serta juga bersama AS melalui
    ASEAN-US STOD ke-3 yang diadakan kelmarin.

    STOM bersidang dua kali setahun untuk merebiu dan menyelaraskan program-program, aktiviti dan projek berkaitan pengangkutan untuk pertimbangan Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) yang akan diadakan pada penghujung tahun.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM China ajak kerjasama AI antarabangsa

    SHANGHAI, 4 JULAI- Perdana Menteri China, Li Qiang hari ini menyeru kerjasama global dan pemikiran yang lebih terbuka dalam kecerdasan buatan (AI), ketika persaingan...