TOWSON, 28 FEB – Dakwaan jenayah tidak akan difailkan terhadap seorang pegawai polis di Maryland yang me-nembak mati seorang lelaki yang dituduh mengugut akan mencederakan dirinya dan orang lain.
Polis Wilayah Baltimore mengumumkan keputusan pendakwa dan mengeluarkan video kamera dan audio 911 semalam dalam insiden tembakan Eric Sopp, 48 tahun, lapor agensi berita.
Ibu Sopp, Catherine Sopp telah memanggil polis pada 26 November untuk melaporkan bahawa anaknya mengugut untuk membunuh dirinya dan mungkin memandu ketika mabuk.
Dalam rakaman kamera yang dikeluarkan oleh jabatan, seorang pegawai dilihat memberitahu Eric Sopp supaya memberhentikan keretanya di Lebuh Raya 83 dan meletakkan tangannya di depan ‘dashboard’ kereta. Sopp kemudian didengar berkata dia akan keluar dari kereta dan pegawai itu menyuruhnya jangan keluar. Apabila Sopp keluar dari kenderaan, pegawai itu melepaskan tembakan sebanyak lapan kali.
Pegawai itu dikenalpasti oleh jabatan sebagai Pegawai Page. Nama pertamanya tidak diberikan, tetapi laporan daripada polis pada November lalu berkata dia telah berkhidmat sebagai polis selama 21 tahun.
Penolong Peguam Daerah Baltimore, Robin Coffin berkata tembakan itu adalah ‘wajar’ dalam sepucuk surat kepada Ketua Polis Daerah, Melissa Hyatt, lapor Baltimore Sun. Pejabat Peguam Negara enggan mengemukakan dakwaan ke atas pegawai itu. Seorang peguam keluarga Sopp berkata mereka sedang menimbang opsyen tindakan guaman. Tiada senjata ditemui dari badan Sopp selepas kejadian tembakan. Jurucakap polis Sarjan Vickie Wareheim enggan berkata sama ada senjata ditemui di dalam kenderaan atau di tempat kejadian. – AP