Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pegawai polis lepas tembakan, dibawa ke hospital

    BANGKOK, 15 MAC – Polis Thailand hari ini menahan seorang pegawai kanan polis yang melepaskan beberapa das tembakan dari rumahnya di Bangkok, menamatkan ketegangan lebih 24 jam selepas rakan sekerjanya cuba membawanya untuk rawatan bagi penyakit mental.

    Lelaki bersenjata itu, dikenal pasti sebagai Leftenan Kolonel Kitikarn Sangbun, telah dibawa ke hospital hari ini kerana kecederaan selepas pengalaman pahit itu, kata Leftenan Jeneral Samran Nualma, pembantu kepada ketua polis.

    Beliau tidak menyatakan sifat kecederaan Kitikarn dan bagaimana ia berlaku, tetapi berkata tiada orang lain cedera.

    Video yang dimuat naik di Twitter oleh akhbar Khaosod menunjukkan penghujung insiden itu apabila Kitikarn, berpakaian seluar pendek dan kemeja-T serta memegang pisau ukiran di tangan kirinya, memecahkan tingkap tingkat dua dan melompat ke kawasan belakang rumah yang kecil dan bersepah.

    Dia berbaring terpinga-pinga selama beberapa saat sehingga polis dengan kelengkapan taktikal meluru keluar dari pintu belakang rumah, menangkapnya serta-merta.

    Insiden bermula pagi kelmarin apabila pegawai atasan Kitikarn hendak membawanya untuk dirawat di institut mental, tetapi ditolak, kata Kolonel Rangsan Sornsing, penguasa balai polis Sai Mai di Bangkok.

    Kitikarn kemudian melepaskan tembakan ke arah polis yang tiba di tempat kejadian, memulakan ketegangan.

    Pegawai-pegawai mengosongkan dan mengepung kawasan rumah Kitikarn ketika mereka mencuba beberapa kaedah untuk menangkapnya.

    Polis melepaskan gas pemedih mata pada malam tadi dan Kitikarn dilaporkan bertindak balas dengan melepaskan tembakan.

    Pada pagi tadi, seorang pegawai rendah menyanyikan lagu untuk Kitikarn dalam usaha untuk menenangkannya, sekali-sekala memintanya supaya menyerahkan diri.

    Situasi itu menarik perhatian negara dengan hashtag ‘inspektor gila’ yang menjadi tular di Twitter di Thailand. – AP

    Seorang pegawai polis menghalang media menghampiri kawasan dekat sebuah rumah pegawai polis kanan di Bangkok, Thailand, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda