Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pegawai polis maut dalam misi pengintipan

    COLOMBO, 31 DIS – Seorang pegawai polis terbunuh dan seorang lagi cedera parah apabila anggota tentera melepaskan tembakan ke arah unit pengintipan semasa serbuan dadah di sebuah hotel di Sri Lanka, kata polis tempatan hari ini.

    Unit itu adalah sebahagian daripada kempen anti-narkotik utama yang diberi nama kod ‘Yuktiya,’ atau keadilan, yang menurut polis telah berjaya membuat lebih 17,000 tangkapan dalam tempoh tiga minggu lalu.

    Pegawai pengintip berada di sebuah hotel pantai di Weligama, tempat meluncur popular di pantai selatan negara pulau itu, beritahu seorang pegawai polis kepada AFP melalui telefon, bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan.

    Anggota tentera yang dikerahkan untuk membantu polis tempatan dalam kempen membanteras dadah bergegas ke kawasan itu untuk menyiasat satu kes tembakan yang tidak berkaitan, namun telah melepaskan tembakan ke arah sebuah van yang memandu laju meninggalkan tempat kejadian, kata pegawai itu.

    “Mereka tidak menyedari terdapat pegawai dari Bahagian Jenayah Colombo di dalam van itu meninggalkan hotel,” kata pegawai itu, sambil menambah siasatan sedang dijalankan.

    Gambar Freepik

    Ia merupakan kematian pertama dilaporkan sejak tindakan keras terhadap perniagaan dadah yang dilancarkan pada 10 Disember lalu.

    Serbuan telah dihentikan selama dua hari sempena Hari Natal ketika polis dikerahkan untuk melaksanakan tugas keselamatan yang lain, tetapi kempen itu akan disambung semula selepas cuti.

    Operasi mengepung dan mencari, yang dilakukan oleh polis dengan bantuan tentera bersenjata lengkap, dan penangkapan besar-besaran telah mencetuskan dakwaan pencabulan hak manusia.

    Aktivis hak asasi manusia, Ambika Satkunanathan menulis hantaran di media sosial bahawa penggeledahan itu bukan berdasarkan bukti tetapi ‘hanya menyasarkan kawasan miskin.’

    Polis menahan pengguna dadah dan pengedar dadah kecil-kecilan tetapi tidak memberikan tumpuan kepada pengedar besar-besaran, tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda