WELLINGTON, 18 April – Salah seorang pegawai tentera berpangkat tertinggi New Zealand hari ini didapati bersalah kerana cuba merakam secara rahsia orang yang berada di dalam tandas di kedutaan negara itu di Washington DC.
Alfred Keating, 59 tahun, menyandang jawatan pegawai tertinggi pertahanan New Zealand semasa penemuan kamera tersembunyi di bilik air kedutaan itu pada Julai 2017.
Dia menafikan dakwaan cuba membuat rakaman visual tetapi hakim mahkamah tinggi secara sebulat suara menjatuhkan keputusan bersalah pada akhir perbicaraan selama dua minggu, media setempat melaporkan.
Sebuah kamera kecil dipasang di dalam pemanas saluran di bilik air ditemukan apabila panel tempat kamera itu ditempelkan terjatuh ke lantai.
Mahkamah difahamkan bahawa kesan DNA Keating terdapat pada kad media kamera dan ia juga pada satu masa pernah disambungkan ke komputer ribanya.
Pihak pendakwa Henry Steele berkata motif Keating adalah untuk secara rahsia merakamkan rakan-rakan sekerjanya menggunakan tandas itu dan ‘bukan sebagai tindakan mengintip’.
Hakim Robert Ronayne memberitahu hakim bahawa tugas mereka ialah untuk menentukan sama ada keseluruhan bukti bermaksud mereka boleh memastikan bahawa Keating atau orang lain yang memasang peranti itu.
Keating yang nampaknya tidak beremosi di kandang saksi ketika keputusan dibacakan, akan dijatuhi hukuman pada 25 Jun dan berdepan hukuman penjara sehingga 18 bulan. – AFP