Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengguna TikTok AS ‘berhijrah’ ke aplikasi alternatif China

    SAN FRANCISCO, 14 JAN – Pada masa TikTok sedang menghadapi penutupan segera di Amerika Syarikat (AS), para pencipta kandungan Amerika telah beralih ke aplikasi media sosial China yang lain.

    Xiaohongshu atau dikenali sebagai Red Note dalam bahasa Inggeris, mengalami lonjakan dalam muat turun Apple App Store kelmarin, apabila pengguna beramai-ramai ‘berhijrah’ ke aplikasi dengan susun atur gaya ala-ala Instagram-dan-Pinterest

    “Oh, jadi awda tidak mahu orang Cina mempunyai data peribadi kami yang sangat sensitif?” sindir seorang pempengaruh Jen Hamilton dalam video yang dihantar kepada 3.9 juta pengikutnya di TikTok, mengiklankan perpindahannya itu.

    Kerajaan AS meluluskan undang-undang tahun lepas yang memaksa pemilik TikTok dari China, ByteDance untuk sama ada menjual platformnya yang sangat popular itu atau pun menutupnya.

    Walaupun pengkritik undang-undang itu berhujah ia menyekat kebebasan bersuara, kerajaan AS mendakwa TikTok membenarkan Beijing mengumpul data, mengintip pengguna dan juga ia merupakan saluran untuk menyebarkan propaganda.

    China dan ByteDance sebaliknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

    Namun, pengguna seperti Hamilton tidak mengendahkannya.

    “Adalah mustahil jika saya tidak mengambil berat bahawa orang Cina (mempunyai) data saya,” katanya dalam videonya dan turut berkongsi jenaka tentang pengguna yang “menukar nama mereka kepada nombor keselamatan sosial” supaya pengintip-pengintip boleh “dinaikkan pangkat dengan lebih cepat. “

    “Ayuh, marilah berhijrah ke sini (Xiaohongshu)” katanya kepada rakan-rakan walaupun platform Xiaohongshu yang hampir keseluruhannya adalah dalam bahasa Mandarin.

    Ketika ini, TikTok telah mempunyai kira-kira 170 juta pengguna di AS. – AFP

    Seorang pencipta kandungan berada di luar Bangunan Mahkamah Agung AS selepas mengikuti satu sidang berkenaan TikTok pada 10 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda