Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peguam Australia mohon maaf atas kesilapan AI dalam kes bunuh

    MELBOURNE, 17 OGOS – Seorang peguam kanan di Australia telah memohon maaf kepada seorang hakim kerana mengemukakan hujahan dalam satu kes bunuh yang mengandungi petikan palsu dan rujukan kes tidak wujud yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI).

    Kesilapan di Mahkamah Agung negeri Victoria itu menambah kepada siri insiden yang berpunca daripada penggunaan AI dalam sistem kehakiman di seluruh dunia.

    Peguam bela, Rishi Nathwani, yang memegang gelaran berprestij King’s Counsel, ‘bertanggungjawab penuh’ atas kesalahan mengemukakan maklumat tidak tepat dalam hujahan kes melibatkan seorang remaja yang didakwa dengan tuduhan bunuh, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh Associated Press pada Jumaat.

    “Kami amat kesal dan berasa malu dengan apa yang berlaku,” kata Nathwani kepada Hakim James Elliott, mewakili pasukan pembelaan pada Rabu.

    Ralat yang dijana AI itu menyebabkan kelewatan selama 24 jam dalam penyelesaian kes yang pada asalnya dijadualkan selesai pada hari sama. Pada Khamis, Elliott memutuskan anak guam Nathwani, yang identitinya tidak boleh didedahkan kerana masih di bawah umur, tidak bersalah atas tuduhan bunuh kerana masalah kesihatan mental.

    “Secara jujur, cara kejadian ini berlaku amat tidak memuaskan,” kata Elliott pada Khamis.

    “Keupayaan mahkamah untuk bergantung kepada ketepatan hujahan peguam adalah asas kepada pentadbiran keadilan,” tambahnya.

    Hujahan palsu itu termasuk petikan rekaan daripada ucapan di badan perundangan negeri serta rujukan kes yang kononnya dari Mahkamah Agung. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda