ZURICH, 17 MAC – Seorang peguam di Switzerland dikenakan denda lebih AS$100,000 kerana memandu terlalu dekat dengan kenderaan di hadapannya di lebuh raya, jumlah denda yang hampir dua kali ganda nilai kereta yang dipandunya.
Memetik laporan Oddity Central, Switzerland terkenal dengan undang-undang lalu lintas yang ketat serta kadar denda yang tinggi, yang ditentukan berdasarkan pendapatan bercukai pesalah. Sistem itu bertujuan memastikan hukuman dijalani secara adil oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan tinggi.

Dalam kejadian pada 2023, seorang peguam berusia 58 tahun dari Aargau, ditahan kerana mengekori terlalu rapat di lebuh raya yang menghubungkan Zurich dan Lausanne.
Mahkamah mengenakan denda bersyarat sebanyak 50 kadar harian, dengan setiap kadar harian ditetapkan pada AS$2,328 berdasarkan pendapatan cukai tahunan sebanyak 1.6 juta franc (AS$1.8 juta). Jumlah denda keseluruhan yang dikenakan adalah AS$109,500.
Berdasarkan bukti yang dikemukakan di mahkamah, pemandu itu mengekalkan jarak hanya 26 hingga 40 kaki dari kenderaan di hadapannya, pada kelajuan mencecah 74 batu sejam. Dia berhujah bahawa undang-undang Switzerland tidak menetapkan jarak minimum yang jelas bagi kesalahan mengekori rapat, namun Mahkamah Agung Switzerland bulan lalu mengekalkan keputusan asal dan denda tersebut.
Gambar yang disediakan oleh pihak polis menunjukkan kenderaan peguam itu berada terlalu dekat dengan kenderaan hadapan, yang dianggap mahkamah sebagai bukti kukuh untuk mengekalkan keputusan tersebut. Selain itu, beliau juga diarahkan membayar kos mahkamah sebanyak 13,000 franc Switzerland (AS$14,500).
Namun, mahkamah memutuskan bahawa denda tersebut digantung selama dua tahun, yang mana pemandu berkenaan hanya perlu membayar AS$109,500 sekiranya melakukan kesalahan lalu lintas lain dalam tempoh tersebut. – Agensi