BANGKOK, 23 MEI – Seorang peguam hak asasi manusia dari Thailand yang kini sedang menjalani hukuman penjara kerana mengkritik institusi monarki telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Front Line Defenders bagi Pembela Hak Asasi Manusia Berisiko bagi rantau Asia-Pasifik tahun ini.
Arnon Nampa, 40, menjadi rakyat Thailand pertama memenangi anugerah tersebut, yang diberikan oleh pertubuhan berpangkalan di Ireland sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam mempromosikan kebebasan bersuara dan pembaharuan demokrasi.
Arnon kini sedang menjalani hukuman penjara selama 22 tahun setelah disabitkan dengan pelbagai pertuduhan di bawah undang-undang penghinaan raja Thailand, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap kesalahan kerana mengkritik institusi diraja, selain tuduhan-tuduhan lain.
Dalam satu kenyataan, Thai Lawyers for Human Rights (TLHR) memaklumkan bahawa Arnon diiktiraf kerana peranannya dalam mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia walaupun berdepan dengan bahaya serta risiko serius terhadap keselamatan dirinya.
Anugerah Front Line Defenders, yang diberikan setiap tahun, bertujuan menyoroti usaha aktivis di seluruh dunia yang berjuang dalam keadaan penuh ancaman dan tekanan.
Dalam sepucuk surat yang dibacakan oleh ahli keluarganya semasa majlis penganugerahan di Dublin, Arnon menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai ‘satu penghormatan yang mendalam’ dan memberikan beliau kekuatan untuk terus berjuang ke hadapan.
Beliau menggambarkan penindasan politik di Thailand sebagai satu perjuangan merentasi generasi menentang ‘sistem lama’ yang menindas suara perbezaan pendapat. – AFP
